mangga ad

Thursday, October 7, 2010

Rezeki Josiah Ng

“AKHIRNYA saya boleh nyanyikan lagu Negaraku,” kata Josiah Ng selepas menang pingat emas berbasikal Keirin di Kompleks Sukan Indera Gandhi, semalam.

Meskipun memenangi pingat emas selepas kemenangan rakan senegara, Azizulhasni Awang dibatal kerana didakwa menghimpit peserta lain, Josiah tetap bangga dengan kejayaannya itu.

“Azizulhasni sebenarnya yang lebih layak menang acara ini kerana daripada pandangan saya, dia tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Saya lebih rela menang pingat perak kerana beliau berhak untuk membawa pulang pingat emas itu.

“Dalam keirin, tolak-menolak berlaku dalam perlumbaan semalam satu perkara biasa.

“Situasi sama pernah saya alami di Kejohanan Dunia tahun lalu dan tahu bagaimana perasaan Azizul. Namun, kali ini saya lebih bernasib baik kerana meskipun menamatkan perlumbaan di tempat kedua, saya dinobat sebagai juara perlumbaan itu.

“Mungkin inilah masa manis untuk saya selepas mengharungi pelbagai kekecewaan,” katanya.

Insiden itu meragut harapan Malaysia menamatkan acara kierin itu dengan pingat perak dan emas.
Pingat perak acara itu dihadiahkan kepada pelumba England, David Daniel manakala peserta New Zealand, Simon van Velthooven memenangi pingat gangsa.

Kemenangan itu umpama menjawab kritikan negatif sesetengah pihak yang dilemparkan kepada Josiah.

“Saya tak kisah dikritik tapi biarlah yang membina. Namun, ada pihak yang bertindak keterlaluan hingga membuat dakwaan keterlaluan. Saya sayangkan Malaysia dan akan melakukan apa jua untuk negara.

“Kini saya mahu terus menyumbang keringat untuk menjulang sukan berbasikal negara. Jangan harap saya berhenti kerana saya percaya mampu menyumbang untuk empat hingga enam tahun lagi,” katanya lagi.

Liverpool akan dijual

Lembaga pengarah Liverpool, bersetuju untuk menjual kelab Liga Perdana Inggeris itu kepada pemilik Boston Red Sox walaupun diingatkan bahawa tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pemilik sedia ada bagi memastikan pengambilalihan itu berlaku. Pemilik Liverpool sekarang, Tom Hicks dan George Gillett Jr pernah berkata bahawa mereka menolak sebarang tawaran pembelian daripada New England Sports Ventures yang memegang saham terbesar Red Sox serta satu lagi tawaran dari Asia kerana kedua-duanya meletakkan harga yang terlalu rendah.

Pemilik Red Sox menawarkan sejumlah £300 juta (RM1.47 bilion) untuk membeli kelab yang sedang menanggung hutang sebanyak £285 juta (RM1.40 bilion) itu.

Walaupun Hicks dan Gillett enggan menjual semua saham yang mereka miliki di dalam Liverpool, tawaran yang dikemukakan pemilik Red Sox itu diterima ahli bukan lembaga kelab iaitu pengerusi Liverpool, Martin Broughton, pengarah urusan, Christian Purslow serta pengarah komersial, Ian Ayre.

“Saya gembira kerana berjaya mencapai keputusan yang sudah banyak kali tertangguh,” kata Broughton. “Dengan menghilangkan beban hutang, tawaran yang dikemukakan itu membolehkan kami menumpukan perhatian kepada pelaburan di dalam pasukan.

“Apa yang mengejutkan saya ialah pemilik Liverpool melakukan apa saja untuk menghalang penjualan itu berlangsung dan kami perlu mengambil tindakan undang-undang untuk melengkapkan proses berkenaan.” Hicks mahu menjual Liverpool dengan harga £600 juta (RM2.94 bilion) - angka yang membuatkan pelabur lain tawar hati. Hicks membeli kelab itu dengan harga £174 juta (RM854.8 juta).

“Pemilik sudah melabur lebih AS$270 juta (RM835 juta) untuk kelab. Sepanjang pemilikan itu, pendapatan meningkat sekali ganda, pelaburan terhadap pemain juga meningkat dan kelab itu adalah antara yang paling untung di dalam Liga Perdana Inggeris,” kata Hicks dan Gillett dalam satu kenyataan.

“Bagaimanapun, lembaga pengarah kami ditawarkan dengan jumlah yang terlalu rendah. Setakat ini, kami tidak mengubah keputusan untuk mencari pembeli yang boleh menawarkan harga yang lebih tinggi. Kami akan menghalang apa saja usaha untuk menjual kelab ini.” Gesaan untuk menjual kelab itu dibuat selepas Liverpool tewas di tangan Blackpool, Ahad lalu sekali gus melengkapkan permulaan paling buruk kelab sejak 1953. Setakat ini, Liverpool tidak pernah menang sepanjang lima perlawanan dan sedang menduduki zon penyingkiran. Skuad itu juga sudah tersingkir daripada saingan Piala Liga selepas kalah kepada Northampton - kelab divisyen empat.

Sumber dari myMetro

Monday, October 4, 2010

Pingat emas pertama Malaysia

Tahniah diucapkan untuk Amirul Hamizan kerana berjaya mencipta rekod baru dan merangkul pingat emas pertama untuk Malaysia. Walaupun sukan ini bukan favourite aku...tapi aku bangga dengan kejayaan beliau.

Tahniah sekali lagi dan terus kekalkan prestasi begini demi negara tercinta.....pengajaran lalu jadikan panduan.

GAGAH...gaya Amirul mengangkat bebanan dalam kategori 56kg, semalam

Badang negara itu memastikan penguasaan Malaysia dalam acara itu berterusan sejak 2002 di Manchester dan 2006 di Melbourne dengan mencipta rekod baru dalam acara snatch dengan angkatan 116kg sebelum cemerlang pada acara clean and jerk melepasi bebanan 141kg untuk mengumpul jumlah keseluruhan 257kg.

Amirul, atlet kelahiran Rompin, Pahang mengetepikan tentangan dua wakil tuan rumah Sukhen Dey yang meraih pingat perak dengan angkatan 252kg manakala rakan senegaranya, Srinivasa Rao terpaksa berpuas hati dengan gangsa dengan angkatan 248kg.

Bagaimanapun rentak gemilang Amirul itu bagaimanapun gagal dituruti atlet muda negara, Mohd Shafiq Ismail terkeluar daripada persaingan selepas gagal dalam ketiga-tiga percubaan mengangkat bebanan acara clean and jerk 130kg meskipun bermula baik dalam acara snatch sebelum itu dengan menduduki tangga ketiga apabila berjaya mengangkat bebanan 109kg.

Amirul pemenang tiga pingat emas di Manchester 2002 bagaimanapun sekadar menyaksikan Mohd Faizal Baharom meraih emas pada edisi empat tahun selepas itu di Melbourne selepas dia tidak dapat beraksi kerana menjalani penggantungan dua tahun gara-gara kerana kesalahan penggunaan dadah terlarang.

(sumber berita dari myMetro)
Related Posts with Thumbnails