mangga ad

Thursday, October 7, 2010

Liverpool akan dijual

Lembaga pengarah Liverpool, bersetuju untuk menjual kelab Liga Perdana Inggeris itu kepada pemilik Boston Red Sox walaupun diingatkan bahawa tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pemilik sedia ada bagi memastikan pengambilalihan itu berlaku. Pemilik Liverpool sekarang, Tom Hicks dan George Gillett Jr pernah berkata bahawa mereka menolak sebarang tawaran pembelian daripada New England Sports Ventures yang memegang saham terbesar Red Sox serta satu lagi tawaran dari Asia kerana kedua-duanya meletakkan harga yang terlalu rendah.

Pemilik Red Sox menawarkan sejumlah £300 juta (RM1.47 bilion) untuk membeli kelab yang sedang menanggung hutang sebanyak £285 juta (RM1.40 bilion) itu.

Walaupun Hicks dan Gillett enggan menjual semua saham yang mereka miliki di dalam Liverpool, tawaran yang dikemukakan pemilik Red Sox itu diterima ahli bukan lembaga kelab iaitu pengerusi Liverpool, Martin Broughton, pengarah urusan, Christian Purslow serta pengarah komersial, Ian Ayre.

“Saya gembira kerana berjaya mencapai keputusan yang sudah banyak kali tertangguh,” kata Broughton. “Dengan menghilangkan beban hutang, tawaran yang dikemukakan itu membolehkan kami menumpukan perhatian kepada pelaburan di dalam pasukan.

“Apa yang mengejutkan saya ialah pemilik Liverpool melakukan apa saja untuk menghalang penjualan itu berlangsung dan kami perlu mengambil tindakan undang-undang untuk melengkapkan proses berkenaan.” Hicks mahu menjual Liverpool dengan harga £600 juta (RM2.94 bilion) - angka yang membuatkan pelabur lain tawar hati. Hicks membeli kelab itu dengan harga £174 juta (RM854.8 juta).

“Pemilik sudah melabur lebih AS$270 juta (RM835 juta) untuk kelab. Sepanjang pemilikan itu, pendapatan meningkat sekali ganda, pelaburan terhadap pemain juga meningkat dan kelab itu adalah antara yang paling untung di dalam Liga Perdana Inggeris,” kata Hicks dan Gillett dalam satu kenyataan.

“Bagaimanapun, lembaga pengarah kami ditawarkan dengan jumlah yang terlalu rendah. Setakat ini, kami tidak mengubah keputusan untuk mencari pembeli yang boleh menawarkan harga yang lebih tinggi. Kami akan menghalang apa saja usaha untuk menjual kelab ini.” Gesaan untuk menjual kelab itu dibuat selepas Liverpool tewas di tangan Blackpool, Ahad lalu sekali gus melengkapkan permulaan paling buruk kelab sejak 1953. Setakat ini, Liverpool tidak pernah menang sepanjang lima perlawanan dan sedang menduduki zon penyingkiran. Skuad itu juga sudah tersingkir daripada saingan Piala Liga selepas kalah kepada Northampton - kelab divisyen empat.

Sumber dari myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails